Skip to main content

119 - INAS - SUDAH LAPAN BULAN

Bismillahirahmanirrahim                   
Assalamualaikum
 
  • Baru-baru ini ketika makan malam dengan Encik Suami, beliau mengungkit tentang cerita Inas. Sekiranya panjang hayat anak Syurga kami, Inas dah berlari ketika ini dan mungkin berebut-rebut mainan dengan Imaan. Yang penting Inas mungkin dah pandai panggil Ummi dan Ayah.
  • Saya diam malam itu. Entah. Biasanya saya boleh terima kalau cerita tentang Inas dijadikan topik utama. Sebab saya rasa masa dan berkat doa membuatkan saya makin berlapang hati dengan takdir ini.
  • Selepas Subuh saya terlelap semula. Saya bermimpi memandu kereta dalam hujan. Saya tiba di hospital. Rupanya untuk follow up checkup anak yang memang sudah berada di hospital. Inas di dalam stroller asyik menghisap susu botol. Saya angkat dia dalam keadaan dia sedang tidur. Saya berkira-kira bagaimana mahu ke kereta untuk menelefon si ayah bagi menemani saya di hospital. Ketika saya mahu menatap muka Inas, ketika itu jugalah saya tersedar. 
  • Dalam mimpi ini saya tidak sempat melihat muka Inas walaupun saya dapat rasa nafasnya. Baju yang dipakai sama dengan baju biru yang Encik Suami beli tetapi sebenarnya waktu hayat anak ini baju itu tidak sempat dipakai.
  • Ia cuma mimpi. Mimpi ketiga dalam tempoh 8 bulan selepas dia pergi menghadap Allah. Mimpi pertama doktor salah sahkan kematian Inas sedangkan sebenarnya Inas masih bernyawa. Mimpi kedua, saya mahu menggali kubur Inas yang sebenarnya Inas masih hidup di dalam sana. Ya hanya mainan mimpi..
  • Saya ceritakan mimpi singkat ini pada Encik Suami.
  • Selepas beberapa ketika saya memikirkan semula mimpi ini. Hati saya disagat rasa pilu. Saya cuba menahan emosi tapi airmata turun tanpa henti. Rindunya saya pada dia. Masih segar kejadian 8 bulan lepas. 48 jam terakhir dia bersama saya.
  • Takdir kita berbeza. Saya sendiri tidak sangka kurang 48 jam, malaikat Izrail sedang menunggu arahan untuk menjalankan tanggungjawabnya pada ketika itu. AllahuAkbar..
  • Inas Sarah Affendi. Anugerah Allah yang tidak ternilai. Dia juga ujian terhebat saya setakat ini.
  • Dalam galau emosi, hati terdetik, 'Kalau la saya boleh putarkan masa.. Kalau la saya boleh tukarkan takdir.. Kalau la saya boleh merayu supaya Allah kembalikan anak saya..'. Perkataan kalau hanya mainan emosi. Ia bukan mutlak dan hak.
  • Inas Sarah Affendi, tiada apa pun dalam dunia ini mampu menggantikan tempat kamu dalam hati ummi.
  • Ada teman ada rakan masih menyuarakan kenapa tidak saya merancang untuk hamil semula. Untuk ubat duka lara. Kata orang yang mengganti akan mengubat rindu pada yang telah pergi.
  • Jujur dari dalam sudut hati, memang saya mahu anak lagi. Tapi ada rasa takut yang bersarang di dalam sanubari. Takut kalau ujian yang sama diberi kepada saya. Ya saya berburuk sangka. Sukar mencari positif dalam kecelaruan emosi yang masih  belum ada titik noktah. Entah bila saya akan tersenyum redha setiap kali orang membangkitkan tentang Inas. Sehingga kini, ada masa saya mampu bercerita dengan tenang dan ada masa saya diam menahan gelora rasa.
  • Inilah saya. Saya tidak sekuat sesiapa. Malah sehingga kini bila Imaan diserang demam, saya bukan sekadar risau. Tapi saya jadi takut yang amat sangat. Trauma menghadapi pemergian Inas masih menghantui minda saya sehingga kini. Allah...
  • Dan sebab itu, setiap hari saya memanjat doa pada DIA. DIA Yang Maha Mengetahui bila masa yang betul untuk memberi rezeki anak lagi (jika ada) kepada saya. Dan memang saya mohon supaya jika ada rezeki anak untuk saya, berilah pada ketika saya telah punya mental dan fizikal yang sangat kuat untuk membesarkan satu lagi nyawa baru.
  • Kadang saya terfikir, kepada yang tiada anak usahlah berkeluh kesah. Ini juga dugaan kepada kamu. Tapi paling tidak, kamu tidak perlu merasai betapa pedih kehilangan permata hati. Tiada istilah paling tepat untuk meluahkan betapa beratnya dugaan emosi untuk menerima hakikat anak itu hanya satu pinjaman. 
  • Semoga Allah terus menguatkan hati saya dan memberi ketenangan jiwa yang berpanjangan.
    http://ourlittleaffendijr.blogspot.com/
  • 1045 am 8 bulan lalu kamu pergi adik. Tinggalkan ummi dan ayah dengan beban emosi yang bukan ringan.

Comments

Popular posts from this blog

194 - KADANG-KADANG

Bismillahirrahmanirrahim Menikmati indahnya alunan suara imam, gema zikir dan sayunya doa diaminkan ahli masjid pun dah terasa indah dan nikmat. Apatah lagi mereka yang telah diberi rezeki mengunjungi Masjidil Haram. Nikmatnya pasti jauh lebih hebat. Dan kerana itu tiada orang yang tak merindui Tanah Suci itu. Semoga kita dipilih Allah untuk menerima kad jemputanNya suatu hari nanti. Amin.

37 - PERANCANGAN UNTUK MINI LANDSKAP

Bismillahirahmanirrahim    Assalamualaikum Tanah di tepi rumah kami ada la berlebihan beberapa kaki persegi. Encik suami ada plan untuk letak gazebo. Tapi susah dan belum jumpa pembuat gazebo di Melaka. Masa Home Fair pernah la survey tapi takde info. Pernah juga bertanya-tanya di Galeri Produk Penjara depan Kompleks KDN Ayer Keroh kot ada jual ke. Kat situ macam-macam produk penjara yang dijual, dari kraftangan dan peralatan untuk landskap pun ada dari penjara pelbagai negeri. Kata PIC kat situ, kat Kelantan ada buat tapi diorang takde supply ke luar sebab demand kat sana pun dah tinggi. Gazebo ni mahal. Paling tau pun ada jual kat sungai buluh. Kot campur transportation cost memang kena bajet lebih la.  Tapi sebab takde la beria-ia nak dan dan tu gak kan so kita KIV dulu la. Nice and simple Hari tu masa tengok harga pokok pun boleh tahan la kalau nak pokok yang sedang-sedang membesar ni. Kalau jenis sabar, beli la anak pokok dulu kos pun murah....

195 - RECAP 2018

Bismillahirrahmanirrahim  2018 memang dah tak rajin nak menulis dalam blog ni. Kadang-kadang ada benda yang nak ditulis tapi takde masa nak mengarang. Ada juga keinginan dulu untuk tulis 1 bulan 1 entri. Tapi tu angan-angan mak jemah jelah. Mac 2018 : Sofea warded . Sofea tiba-tiba kena sawan dekat rumah. Allah je tau luluh hati ni. Sampai Hospital Putra doktor kata Sofea kena Influenza A. 3 hari 2 malam warded .  Mei 2018 : PRU 14 yang memberi impak besar kepada semua orang sehingga hari ni kot. Secara peribadi PRU 14 memang aura dia lain macam untuk diri sendiri. Akak pun tak ingat dah berapa kali akak memangkah tapi inilah kali pertama akak risau nak mengundi. Dia punya risau tu menyebabkan akak agak gigih membaca pandangan umum dalam sosial media. Dan tidaklah pernah terjadi dalam hidup ni, akak minta Allah lorongkan hati untuk memangkah pemimpin yang betul. Celaru betul. Dan ingat lagi 9 Mei 2018, dia punya semangat nak keluar rumah ke tempat mengundi memang la...