Skip to main content

119 - INAS - SUDAH LAPAN BULAN

Bismillahirahmanirrahim                   
Assalamualaikum
 
  • Baru-baru ini ketika makan malam dengan Encik Suami, beliau mengungkit tentang cerita Inas. Sekiranya panjang hayat anak Syurga kami, Inas dah berlari ketika ini dan mungkin berebut-rebut mainan dengan Imaan. Yang penting Inas mungkin dah pandai panggil Ummi dan Ayah.
  • Saya diam malam itu. Entah. Biasanya saya boleh terima kalau cerita tentang Inas dijadikan topik utama. Sebab saya rasa masa dan berkat doa membuatkan saya makin berlapang hati dengan takdir ini.
  • Selepas Subuh saya terlelap semula. Saya bermimpi memandu kereta dalam hujan. Saya tiba di hospital. Rupanya untuk follow up checkup anak yang memang sudah berada di hospital. Inas di dalam stroller asyik menghisap susu botol. Saya angkat dia dalam keadaan dia sedang tidur. Saya berkira-kira bagaimana mahu ke kereta untuk menelefon si ayah bagi menemani saya di hospital. Ketika saya mahu menatap muka Inas, ketika itu jugalah saya tersedar. 
  • Dalam mimpi ini saya tidak sempat melihat muka Inas walaupun saya dapat rasa nafasnya. Baju yang dipakai sama dengan baju biru yang Encik Suami beli tetapi sebenarnya waktu hayat anak ini baju itu tidak sempat dipakai.
  • Ia cuma mimpi. Mimpi ketiga dalam tempoh 8 bulan selepas dia pergi menghadap Allah. Mimpi pertama doktor salah sahkan kematian Inas sedangkan sebenarnya Inas masih bernyawa. Mimpi kedua, saya mahu menggali kubur Inas yang sebenarnya Inas masih hidup di dalam sana. Ya hanya mainan mimpi..
  • Saya ceritakan mimpi singkat ini pada Encik Suami.
  • Selepas beberapa ketika saya memikirkan semula mimpi ini. Hati saya disagat rasa pilu. Saya cuba menahan emosi tapi airmata turun tanpa henti. Rindunya saya pada dia. Masih segar kejadian 8 bulan lepas. 48 jam terakhir dia bersama saya.
  • Takdir kita berbeza. Saya sendiri tidak sangka kurang 48 jam, malaikat Izrail sedang menunggu arahan untuk menjalankan tanggungjawabnya pada ketika itu. AllahuAkbar..
  • Inas Sarah Affendi. Anugerah Allah yang tidak ternilai. Dia juga ujian terhebat saya setakat ini.
  • Dalam galau emosi, hati terdetik, 'Kalau la saya boleh putarkan masa.. Kalau la saya boleh tukarkan takdir.. Kalau la saya boleh merayu supaya Allah kembalikan anak saya..'. Perkataan kalau hanya mainan emosi. Ia bukan mutlak dan hak.
  • Inas Sarah Affendi, tiada apa pun dalam dunia ini mampu menggantikan tempat kamu dalam hati ummi.
  • Ada teman ada rakan masih menyuarakan kenapa tidak saya merancang untuk hamil semula. Untuk ubat duka lara. Kata orang yang mengganti akan mengubat rindu pada yang telah pergi.
  • Jujur dari dalam sudut hati, memang saya mahu anak lagi. Tapi ada rasa takut yang bersarang di dalam sanubari. Takut kalau ujian yang sama diberi kepada saya. Ya saya berburuk sangka. Sukar mencari positif dalam kecelaruan emosi yang masih  belum ada titik noktah. Entah bila saya akan tersenyum redha setiap kali orang membangkitkan tentang Inas. Sehingga kini, ada masa saya mampu bercerita dengan tenang dan ada masa saya diam menahan gelora rasa.
  • Inilah saya. Saya tidak sekuat sesiapa. Malah sehingga kini bila Imaan diserang demam, saya bukan sekadar risau. Tapi saya jadi takut yang amat sangat. Trauma menghadapi pemergian Inas masih menghantui minda saya sehingga kini. Allah...
  • Dan sebab itu, setiap hari saya memanjat doa pada DIA. DIA Yang Maha Mengetahui bila masa yang betul untuk memberi rezeki anak lagi (jika ada) kepada saya. Dan memang saya mohon supaya jika ada rezeki anak untuk saya, berilah pada ketika saya telah punya mental dan fizikal yang sangat kuat untuk membesarkan satu lagi nyawa baru.
  • Kadang saya terfikir, kepada yang tiada anak usahlah berkeluh kesah. Ini juga dugaan kepada kamu. Tapi paling tidak, kamu tidak perlu merasai betapa pedih kehilangan permata hati. Tiada istilah paling tepat untuk meluahkan betapa beratnya dugaan emosi untuk menerima hakikat anak itu hanya satu pinjaman. 
  • Semoga Allah terus menguatkan hati saya dan memberi ketenangan jiwa yang berpanjangan.
    http://ourlittleaffendijr.blogspot.com/
  • 1045 am 8 bulan lalu kamu pergi adik. Tinggalkan ummi dan ayah dengan beban emosi yang bukan ringan.

Comments

Popular posts from this blog

180 - PENGALAMAN: BILA ADA ULSER DALAM MULUT SOFEA

Bismillahirrahmanirrahim Baru-baru ni(Jumaat lepas) badan Sofea dedar-dedar..  Hari Sabtu pun sama. Bila malam badan jadi panas dan suhu meningkat ke 38++͎͒ Hari Ahad kami bawa ke klinik sebab beberapa kali air liur meleleh. Hari Ahad memang banyak klinik tutup maka kami tiada pilihan selain bawa ke satu klinik di Semabok.  Saya minta doktor periksa tekak sebab experience kakaknya selalu kalau demam ada tonsil di tekak. Dan kata doktor tekaknya merah sedikit. Doktor bagi ubat antibiotik. Hari Isnin saya notice ada bintik merah di dagu. Suhu badan 37 - 38 macam tu. Malam tu pulak meragam tengah malam. Tak mahu tidur atas katil. Saya perlu berdiri dan dukung bagi dia tidur. Bila saya duduk dia boleh sedar nak menangis. Dengan ayahnya pun tak mahu. Sampai 2-3 pagi tidur tak nyenyak. Minum susu pun tak mahu. Akhirnya pukul 4.00 pagi, mak saya bawa masuk tidur dalam buaian baru lena tidur. Hari Selasa saya terpaksa EL. Kami bawa ke klinik pakar kanak-kanak. On the way  ke klinik

114 - PEMASANGAN JUBIN GARAJ RUMAH SIRI 2

Bismillahirahmanirrahim                       Assalamualaikum Ini siri kedua selepas yang ini . Siap bersiri bagai.. Ini entri untuk kemaskini gambar projek memasang jubin garaj rumah kami. Alhamdulillah dah selesai pun projek ni. Terima kasih Allah atas nikmat rezekiMU. Proses kerja yang dilakukan ambil masa 8 hari. Saya rasa reasonable time dengan tenaga kerja yang hanya dua orang sahaja (sepasang suami isteri). Ini sebahagian gambar yang ada. Gambar-gambar selepas siap kerja tapi lantai belum dicuci, jadi abaikan saja kekotoran yang jelas itu. Kami dinasihatkan cuci selepas 3 hari menggunakan asid dan sabun serbuk. Bahagian parkir kereta Sisi rumah 1 Sisi rumah 2 Gambar sisi tu sama je.  Antara bahagian sisi dan tengah rumah tempat parkir kereta sebenarnya ada longkang kecik. Tapi uncle tu tutup. Tu yang bertingkat sikit gambar bawah ni. Lebihan tiles yang dipulangkan semula kepada pembekal. 26 keping x RM5 = RM130. Mulanya lebihan tiles ni nak pa

112 - PEMASANGAN JUBIN GARAJ RUMAH SIRI 1

Bismillahirahmanirrahim                       Assalamualaikum Rekabentuk garaj Dalam entri ini , saya pernah nyatakan perancangan untuk memasang jubin rumah. Dan di sebelah ni adalah design yang kami buat untuk garaj rumah kami. Ada la beberapa design yang dibuat dan ini hasil yang telah dimuktamadkan. Beria saya cuba mendapatkan survey daripada beberapa kawan. Akhirnya, kami memilih untuk membeli tiles ini di kawasan perumahan kampung. Walaupun sebelum ini kami dah survey kilang di sekitar Malim. Pembelian ini dibuat berdasarkan perbincangan. Kedai ini menawarkan penggantian tiles yang rosak dan sekiranya terdapat lebihan tiles, tiles ini boleh dipulangkan semula. Tiles ini dibeli dengan kadar RM5.00 per unit bagi ukuran 2 x 1 dengan jumlah keseluruhan ialah RM2,500.00. Dengan bantuan tuan kedai, kami bersetuju membeli 150 unit tiles gelap + 350 unit tiles berwarna coklat cerah berdasarkan design yang dibuat dengan mengambil kira ukuran 22 x 40