Skip to main content

37 - PERANCANGAN UNTUK MINI LANDSKAP

Bismillahirahmanirrahim  
Assalamualaikum

  • Tanah di tepi rumah kami ada la berlebihan beberapa kaki persegi.
  • Encik suami ada plan untuk letak gazebo. Tapi susah dan belum jumpa pembuat gazebo di Melaka. Masa Home Fair pernah la survey tapi takde info.
  • Pernah juga bertanya-tanya di Galeri Produk Penjara depan Kompleks KDN Ayer Keroh kot ada jual ke. Kat situ macam-macam produk penjara yang dijual, dari kraftangan dan peralatan untuk landskap pun ada dari penjara pelbagai negeri. Kata PIC kat situ, kat Kelantan ada buat tapi diorang takde supply ke luar sebab demand kat sana pun dah tinggi.
  • Gazebo ni mahal. Paling tau pun ada jual kat sungai buluh. Kot campur transportation cost memang kena bajet lebih la. 
  • Tapi sebab takde la beria-ia nak dan dan tu gak kan so kita KIV dulu la.
    Nice and simple
  • Hari tu masa tengok harga pokok pun boleh tahan la kalau nak pokok yang sedang-sedang membesar ni. Kalau jenis sabar, beli la anak pokok dulu kos pun murah. 
  • Ni nak share perkara-perkara yang perlu kita ambil kira dalam merancang landskap. Kredit kepada sumber. 
  • Rahsia Landskap/Taman yang Berjaya

    1. Sepadukan Antara Binaan dan Taman
    Apabila hendak membina landskap, perancangan hendaklah mengambil kira penyepaduan apa jua binaan dan taman dari segi bentuk, skala, warna dan bahan.

    2. Pertimbangan Saiz Pokok Apabila Matang
    Mengambil kira saiz pokok atau tumbuhan terutamanya tumbuhan yang boleh membesar yang boleh melindungi tingkap, balkoni, pendawaian elektrik, atau pemandangan.

    3. Kos pembinaan landskap
    Kira dan tetapkan harga setiap bahan, dan kos luar jangka. Berfikir dan berkira kewajaran tentang harga dan kemampuan sendiri.

    4. Bina Lorong Laluan Yang Luas
    Bina lorong laluan sekurang-kurangnya 1 meter supaya orang dewasa boleh berjalan beriringan. Lebihkan ruang untuk tumbuhan yang merendang. Sediakan ruang untuk meletakkan bangku di sepanjang lorong.

    5. Buat Lengkungan
    Bentuk lengkungan dan bentuk bebas dapat menarik perhatian. Menjadi amalan kebiasaan menanam pokok tinggi di belakang dan yang rendah di hadapan. Sebagai ganti kelompokkan dan susun tumbuhan mengikut ketinggian dan juga tanam tanaman tutup bumi.

    6. Gambarkan Taman Secara Keseluruhan
    Rancang pembinaan landskap secara keseluruhan walaupun kita hanya membina sebahagian sahaja pada satu-satu masa. Tanpa pelan keseluruhan, bahagian-bahagian tertentu tidak nampak bersepadu.

    7. Bina Jalan Masuk
    Landskap bermula di tapak kediaman/bangunan bukan di kawasan kediaman. Binalan elemen seperti pintu pagar, tempat yang redup, pagar kecil, pagar tumbuhan, atau sempadan taman untuk membentuk jalan masuk dari hadapan dan/atau sisi halaman.

    8. Pilih Tumbuhan Yang Betul
    Pilih tumbuhan taman yang sesuai dengan suhu dan cuaca, keamatan cahaya matahari dan teduhan, jenis tanah dan kelembapan. Wang dan masa dapat dijimatkan, tumbuhan hidup segar, dan kurang memerlukan perhatian, dan dapat mengelakkan tumbuhan menjadi tidak subur dan mati.

    9. Ada Kesepaduan Sayur-sayuran dan Tumbuhan-tumbuhan Lain
    Tidak perlu kebun sayur berasingan. Lebih menarik jika ada penggabungan tanaman sayur-sayuran dan tumbuhan landskap termasuk yang berbunga dalam satu kelompok di tengah-tengah kawasan landskap atau laman.

    10. Beri Pencahayaan Kepada Taman

    Kita tidak perlu tergesa-gesa ke taman sebelum matahari terbenam untuk menikmati keindahan landskap. Berikan pencahayaan untuk keselamatan dan keseronokan pada waktu malam. Beri pencahayaan pada patio, dek, lorong, kolam dan kawasan lain.

    11. Halaman Berumput Meredupkan Pemandangan
    Rumput memberi kawasan landskap yang cantik, kemas, teduh, dan redup mata memandang. Tanamlah rumput yang tahan dan sesuai dengan suhu, cuaca dan fungsi kawasan yang ditanam rumput.

    12. Bentukkan Dasar Landskap Yang Kukuh

    Lebih baik menanam tumbuhan pelbagai ketinggian, menanam tumbuhan sempadan, dan menanam dalam bentuk lengkungan. Bina lorong pejalan kaki menghala ke pintu, bukasnnya selari dengan bangunan. Ini membantu landskap lebih menarik.

    13. Lebihkan Perhatian Semasa Merancang Pembinaan Siar Kaki
    Pastikan bahan-bahan untuk membina laluan siar kaki tidak membahayakan pengguna dari segi jenis bahan, kerataan dan jarak pemasangan. Tanah yang tinggi rendah boleh menyebabkan orang tergelincir dan mencederakan kaki.

    14. Lihat dan Fahami Sebelum Membina
    Membeli dari nurseri adalah mudah dan cepat. Tetapi ambillah masa untuk menentukan apa yang benar-benar yang diperlukan dalam landskap kita. Dapatkan katalog dan teliti buku-buku mengenai taman sebelum membeli bahan-bahan untuk perlandskapan.

    15. Lihat dan Teliti Dari Dalam Rumah Ke arah Kawasan Landskap

    Duduk di dapur atau di bilik atau di ruang tamu atau di mana -mana bahagian ruang di rumah dan perhatikan landskap yang bakal dibina. Apakah yang ingin kita lihat? Rancang pemandangan yang ingin dilihat dari dalam rumah atau bangunan

    16. Fikirkan jangka Masa Panjang

    Sekarang cuaca panas, tetapi adakah ini akan berpanjangan? Apabila pokok-pokok telah besar dan merendang, adakah kita masih dapat cahaya matahari di tempat yang kita hendak? Asas susunan pokok-pokok mestilah melibatkan perubahan kawasan pada masa akan datang.

    17. Tonjolkan Keindahan Di bahagian Hadapan.
    Jangan sembunyikan keindahan taman dengan membina taman di belakang rumah/bangunan. Rancang untuk membina taman di halaman hadapan dan sisi termasuk bangku, kolam, batas bunga dan dek.

    18. Pandang Ke masa Hadapan
    Di atas kertas kelihatan sempurna, tetapi setelah setahun idea-idea ini mungkin menimbulkan masalah. Adakah kita akan sentiasa menjaga tanaman landskap? Adakah kita akan mengecat perabot landskap? Reka bentuklah landskap mengikut kemampuan kita untuk menyenggara.

    19. Kenal Pasti Masalah Dengan Tepat
    Jika rumput di laman atau tumbuhan landskap kurang subur, kenal pasti puncanya terlebih dahulu sebelum bertindak. Perhatikan keadaan tanah, cahaya matahari, siraman, pembajaan, mencantas, serangga perosak dan penyakit. Jika tidak pasti minta bantuan pakar.

    20. Tumbuhan Landskap Mesti Dijaga Dengan Betul

    Tumbuhan landskap mesti dijaga dengan betul. Elakkan siraman dan pembajaan yang berlebihan. Ada tumbuhan yang mati kerana terlalu dijaga.

    21. Ingatlah Kepada Kanak-kanak
    Ambil masa semasa merancang landskap dengan mengambil kira keperluan keluarga dan kanak-kanak. Mulakan dengan apa yang diingini dan bersesuaian dengan keperluan ahli keluarga termasuk kanak-kanak (ruang bermain, BBQ, membaca, memerhati burung-burung, dan lain-lain).

    22. Pelajari Yang Asas

    Kita tidak ingin mendengar tentang masalah tanah atau perparitan apabila melihat batas bunga yang menyubur dan semasa mengadakan jamuan di taman. Pastikan perkara-perkara asas ini diberi perhatian sebelum menikmati keseronokan di taman.

    23. Sesuai Dengan Gaya Hidup Pengguna
    Reka bentuk landskap hendaklah disesuaikan dengan masa terluang, tenaga dan dan kegemaran pengguna. Jika pengguna menghendaki gaya penyenggaraan yang sedikit, pilihlah bahan dan tumbuhan yang penyenggaraannya sedikit. Jimatkan masa penyenggaraan dengan mengelompokkan mengikut keperluan yang sama.

    24. Bina Landskap Sendiri
    Jangan teringinkan landskap jiran anda. Mungkin silap jika terlalu meniru. Tanah, lokasi, keadaan dan citarasa berbeza. Landskap adalah sesuatu yang peribadi. Anda akan lebih menikmati landskap sekiranya ia dibuat untuk anda sendiri.

    25. Banyakkan Warna
    Kebanyakkan kita menanam tumbuhan landskap sepokok sepokok. Warnanya tidak memberi impak kepada landskap. Kelompokkan beberapa jenis pokok dari jenis yang sama untuk menaikkan warnanya. Warna menjadi banyak jika menanam secara berkelompok dari jenis yang berlainan.

Comments

Popular posts from this blog

114 - PEMASANGAN JUBIN GARAJ RUMAH SIRI 2

Bismillahirahmanirrahim                       Assalamualaikum Ini siri kedua selepas yang ini . Siap bersiri bagai.. Ini entri untuk kemaskini gambar projek memasang jubin garaj rumah kami. Alhamdulillah dah selesai pun projek ni. Terima kasih Allah atas nikmat rezekiMU. Proses kerja yang dilakukan ambil masa 8 hari. Saya rasa reasonable time dengan tenaga kerja yang hanya dua orang sahaja (sepasang suami isteri). Ini sebahagian gambar yang ada. Gambar-gambar selepas siap kerja tapi lantai belum dicuci, jadi abaikan saja kekotoran yang jelas itu. Kami dinasihatkan cuci selepas 3 hari menggunakan asid dan sabun serbuk. Bahagian parkir kereta Sisi rumah 1 Sisi rumah 2 Gambar sisi tu sama je.  Antara bahagian sisi dan tengah rumah tempat parkir kereta sebenarnya ada longkang kecik. Tapi uncle tu tutup. Tu yang bertingkat sikit gambar bawah ni. Lebihan tiles yang dipulangkan semula ke...

180 - PENGALAMAN: BILA ADA ULSER DALAM MULUT SOFEA

Bismillahirrahmanirrahim Baru-baru ni(Jumaat lepas) badan Sofea dedar-dedar..  Hari Sabtu pun sama. Bila malam badan jadi panas dan suhu meningkat ke 38++͎͒ Hari Ahad kami bawa ke klinik sebab beberapa kali air liur meleleh. Hari Ahad memang banyak klinik tutup maka kami tiada pilihan selain bawa ke satu klinik di Semabok.  Saya minta doktor periksa tekak sebab experience kakaknya selalu kalau demam ada tonsil di tekak. Dan kata doktor tekaknya merah sedikit. Doktor bagi ubat antibiotik. Hari Isnin saya notice ada bintik merah di dagu. Suhu badan 37 - 38 macam tu. Malam tu pulak meragam tengah malam. Tak mahu tidur atas katil. Saya perlu berdiri dan dukung bagi dia tidur. Bila saya duduk dia boleh sedar nak menangis. Dengan ayahnya pun tak mahu. Sampai 2-3 pagi tidur tak nyenyak. Minum susu pun tak mahu. Akhirnya pukul 4.00 pagi, mak saya bawa masuk tidur dalam buaian baru lena tidur. Hari Selasa saya terpaksa EL. Kami bawa ke klinik pakar kanak-kanak. On the way ...

112 - PEMASANGAN JUBIN GARAJ RUMAH SIRI 1

Bismillahirahmanirrahim                       Assalamualaikum Rekabentuk garaj Dalam entri ini , saya pernah nyatakan perancangan untuk memasang jubin rumah. Dan di sebelah ni adalah design yang kami buat untuk garaj rumah kami. Ada la beberapa design yang dibuat dan ini hasil yang telah dimuktamadkan. Beria saya cuba mendapatkan survey daripada beberapa kawan. Akhirnya, kami memilih untuk membeli tiles ini di kawasan perumahan kampung. Walaupun sebelum ini kami dah survey kilang di sekitar Malim. Pembelian ini dibuat berdasarkan perbincangan. Kedai ini menawarkan penggantian tiles yang rosak dan sekiranya terdapat lebihan tiles, tiles ini boleh dipulangkan semula. Tiles ini dibeli dengan kadar RM5.00 per unit bagi ukuran 2 x 1 dengan jumlah keseluruhan ialah RM2,500.00. Dengan bantuan tuan kedai, kami bersetuju membeli 150 unit tiles gelap + 350 unit tiles berwarna coklat cerah ...