Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum
Assalamualaikum
- Dalam hidup ini kita boleh buat banyak pilihan. Kita akan memilih apa yang terbaik apa yang akan menjadikan hidup kita lebih ceria dan gembira. Pilihan di tangan kita.
- Tapi kita tiada punya hak secara total untuk membuat pilihan. Kita ini hanya manusia biasa. Kita bukan Tuhan. Hanya Allah berkuasa secara keseluruhannya. Dia Pemilih yang sebenar.
- Dia pilih saya, salah seorang ibu yang ada di muka bumi ini untuk menerima hakikat anak ini benar-benar satu pinjaman. Kita semua tahu hakikat itu, tapi tidak semua antara kita akan sedar hakikat ini bukan mudah untuk diterima seikhlas hati walaupun sebenarnya siapa kita untuk kata tidak. Siapa kita untuk menafikan kuasa Dia. Dia Yang Esa. Bila Dia kata 'Kun Fa Ya Kun'. Sukar mana kita wajib terima. Saya sendiri jika diberi pilihan tidak mahu terima tetapi apa saya mampu buat, saya sedang belajar terima hakikat, ini bukan hak saya untuk memilih.
- Sehingga hari ini, saya masih menangis. Menangis rindukan anak kecil saya. Menangis bila teringat semua momen bersama anak saya. Menangis mengenangkan anak kecil saya sangat sakit tetapi dia terlalu kecil dan tidak berupaya untuk lafazkannya kepada saya. Dan hati saya sangat sedih setiap kali melihat foto-foto terakhir dia. Kenapa saya tidak berupaya memahami apa yang sedang dihadapinya.
Pertemuan akhir adik beradik - Seminggu selepas pemergian Anak Syurga ini, saya kembali bekerja. Walaupun emosi belum stabil, saya mesti bekerja semula kerana berada di rumah membuatkan saya sentiasa kusut memikirkan dia.
- Sehingga kini, saya masih menerima ucapan takziah dari rakan-rakan yang berurusan dengan pejabat saya. Saya cuma tersenyum pahit, diam tak terucap apa-apa, bergelora perasaan setiap kali menerima takziah.
- Seperti kata teman saya, Faizah - masa akan memulihkan saya. Itu pasti kerana perasaan saya sekarang ada masa lebih tenang daripada dulu. Gelora perasaan tidak sehebat dahulu. Hujan masih turun tapi tidak selebat dahulu.
- Saya tahu ini berkat semua yang mendoakan saya. Terima kasih sangat-sangat. Saya tak mampu balas kebaikan kalian, cuma Allah yang akan beri kebaikan kepada kalian.
- Adakala melihat Imaan bermain seorang diri tanpa adiknya, hati saya sayu. Saya mula terima hakikat Inas satu pinjaman paling hebat pernah saya perolehi. Pinjaman tetap satu pinjaman. Sampai masa kita mesti pulangkan harta yang dipinjam. Cuma bila bercakap tentang pinjaman nyawa, tempoh pinjaman ini tidak pernah dimenterai dalam mana-mana terma perjanjian. Itu rahsia besar.
- Kadang-kadang rasa terkilan dan kecewa cuba singgah di
hati saya setiap kali saya menatap gambar-gambar arwah sakit di hospital
pada 7-8 April 2014. Saya rasa mahu menangis semahu-mahunya bila teringat
semua itu. Walaupun telah saya ceritakan di dalam entri ini tetapi situasi
sebenar sangat meremukkan hati saya. Saya tahu ini semua ujian. Saya tahu
ini semua dugaan. Saya tahu saya kena terima hakikat. Cuma saya tidak tahu
kenapa saya yang dipilih menanggung beban emosi ini. Menitik airmata saya setiap kali mengingat perkara ini.
Adik sgt sakit tapi ummi tak mampu tolong - Hanya seorang ibu akan memahami perasaan seorang ibu. Ramai kawan-kawan di luar sana memberi kata semangat. Memahami dan melalui dua situasi yang berbeza. Hanya ibu yang sama-sama mengalami kehilangan anak akan benar-benar faham. Untuk memujuk hati, adakala saya membuat blogwalking kepada ibu yang senasib saya. Betapa bukan saya seorang yang diuji, ramai lagi di luar sana yang saya tidak kenal siapa mereka secara fizikal.
- Bila merenung balik kejadian ini, jauh di sudut hati saya belajar terima, saya bertuah kerana Allah duga saya hari ini kerana Dia mahu beri yang terbaik kepada saya di dunia satu lagi. Jika perjalanan di dunia yang ini cukup berliku, perjalanan di padang Masyar jauh lagi mencabar jika kurang bekalannya. Setidak-tidaknya di sana, anak Syurga saya akan menanti membantu saya menyelusuri Siratul Mustaqim. Saya yakin janji Allah. Saya diberi kelebihan itu atas kesakitan hari ini.
- Saya dipilih untuk kesenangan pada masa hadapan. Tidak ramai yang terpilih maka saya wajib bersyukur. Nikmat mana yang hendak didustakan. Itu kata-kata Allah dalam Surah Ar Rahman.
![]()
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
- Kata mak, Inas sekarang sedang berseronok 'di sana'. Dunia yang jauh lebih baik dari sekarang. Sekurang-kurangnya Inas tidak perlu melalui pancaroba hidup di dunia yang fana ini seperti kita semua. Inas dipilih antara insan yang masih suci bersih dari dosa untuk menghuni Syurga Allah sedangkan kita semua belum pasti penempatan kita di Syurga atau Neraka.
- Seorang sahabat saya, Abby cuba memujuk dengan kata bersahaja 'Inas tak ke mana, dia cuma ke Syurga', Tidak ke saya perlu bersyukur, anak saya berada di tempat paling agung. Sedangkan di luar sana ramai ibu menanggung beban perasaan anak gadis hilang entah ke mana.
- Ya, saya mesti bersyukur, apabila Inas pergi, saya diberi peluang untuk menatapi wajah akhirnya. Saya diberi ruang untuk bersama dengannya di saat-saat akhir, melihat memberi semangat ketika dia sangat lemah. Saya juga diberi peluang untuk memandikan sendiri jenazah dan mengkafankan anak kecil saya sedangkan di luar sana ada ibu yang diberitahu kehilangan tatkala sedang bekerja, ada ibu hilang semangat tidak mampu berhadapan dengan jenazah anak sendiri, ada ibu yang yang terlantar di katil hospital saat anak disemadikan. Saya? Memang Allah ambil anak saya tanpa petanda tapi Dia beri saya segala peluang untuk bersama Anak Syurga ini sehingga dia dihantar ke liang lahad. Bersyukurlah kerana anak ini Anak Syurga. Bukan sebarang anak akan dipilih. Inas Sarah Affendi - anak sangat istimewa yang dipilih Allah untuk menikmati hidup dengan gembira di Firdaus Allah.
- Ini cara untuk saya pujuk hati yang lara. Semoga ujian ini mematangkan saya, mengingatkan saya untuk berbuat kebaikan supaya tiba masa saya boleh bersatu dengan anak ini. Anak yang sangat saya rindu untuk dakap semula.
- InsyaAllah satu hari bila hati sudah tenang saya akan nampak sisi-sisi positif dugaan yang menimpa. Tidak Allah jadikan sesuatu untuk sia-sia.
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَAllah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Comments
Post a Comment