Skip to main content

79 - INAS - EMOSI SEORANG IBU

Bismillahirahmanirrahim              
Assalamualaikum

  • Menjadi seorang ibu satu nikmat terbesar bagi seorang wanita apatah lagi anak itu lahir dari rahimnya sendiri.
  • Menjadi seorang ibu tidak mudah. Sebab itu martabat seorang ibu diletak di tahap tinggi oleh Allah. Sehingga Syurga seorang anak terletak di bawah telapak kaki ibu.
    * Apabila seorang wanita mengandung janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para Malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari 1000 kebajikan dan menghapuskan 1000 kejahatan.

    * Apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatat baginya pahala orang-orang yang berjihad kepada jalan Allah.

    * Apabila seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

    * Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, bagi ibu itu setiap satu tegukan dari susunya Allah berikan dia satu kebajikan.

    * Apabila semalaman sibuk tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membinan agama Allah.
  • Inas, anak kedua saya. Mengandungkan Inas saya langsung tidak merasa loya atau muntah. Cuma di awal kehamilan terbit rasa letih.
  • Jarak kehamilan yang tidak lama dengan anak sulung, HB saya agak rendah, dalam lingkungan 10.1-10.9. Oleh sebab itu, setiap dua minggu saya harus ke klinik untuk mendapatkan status bacaan. Hanya itu masalah ketika mengandungkan anak ini. Sebab itu saya pernah beritahu Encik Suami saya boleh mengandung 10 kali tetapi saya takut untuk bersalin.
  • Selepas melahirkan Inas, seperti kebiasaan bayi baru lahir, Inas juga mengalami jaundice. Prolonged jaundice. Jika Imaan recover after 10 days, tidak pada Inas. Saya pernah terbaca ibu yang mempunyai darah 0, anaknya senang terkena jaundice walaupun Inas fully breastfeed.
  • Selepas kelahiran Inas, saya mahu besarkan dua anak ini baru merancang untuk tambahan anak. Sebab itu saya mengambil pil perancang bagi menjarakkan kehamilan. Tapi kesan pil ini juga menyebabkan susu badan saya berkurangan. Saya ralat juga bila terpaksa memberi susu formula. Saya terpaksa terima setakat ini rezeki Inas.
  • Saya sempat susukan Inas selama 9 bulan.  Ibu yang menyusukan anak sahaja tahu, bukan mudah untuk susukan anak. Cabaran yang bukan sedikit. Sebab itu, ganjaran menyusukan anak itu sangat banyak. Setiap usaha setiap yang dilakukan si ibu akan diberi ganjaran pahala.
  • Ketika Allah ambil anak ini. Saya terima. Saya mesti terima sebab saya tiada pilihan. 
  • Sehingga hari ini walaupun sebulan telah berlalu saya masih menangis setiap kali mengingatinya. Saya sedih..
  • Bukan saya tidak redha tetapi saya rindukan dia. Bagaimana mahu saya luahkan apa yang ada di dalam hati..
  • Di luar sana sesiapa yang mengenali saya banyak memberi nasihat, mendoakan ketabahan saya. Terima kasih semua.
  • Ada melihat saya sebagai seorang yang kuat. Tidak sebenarnya. Walaupun saya yakin Allah uji hambaNya setimpal dengan kemampuan kita untuk menerimanya. Saya lemah untuk terima hakikat ini. Tetapi saya tiada pilihan, saya mesti kuat sebab saya ada lagi anak yang perlu diberi perhatian. Saya mesti kuat kerana saya percaya Inas juga tidak mahu saya jadi ibu yang lemah.
  • Emosi di dalam diri ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Banyak saya tulis di sini tetapi apa terbuku di hati jauh lagi hebat untuk diluahkan.
  • Jika kecewa, terkilan, sedih antara emosi yang bermain di dalam hati, tetapi untuk mengatakan tahap mana rasa itu menyelubungi diri tiada kata dapat menerangkannya. Sebab itu saya kata hanya mereka yang melaluinya akan faham. Sungguh, jika berat mata yang memandang, jauh lebih berat bahu yang memikulnya.
  • Setiap memori bersamanya terpatri kuat di sanubari. Saya kuatkan hati setiap kali menatap gambar-gambarnya. Itu sahaja mampu saya buat. Untuk melihat semula barang-barang miliknya saya tidak berani. Saya tahu saya akan menangis. Semuanya masih tersusun rapi belum terusik sejak sebulan dia pergi tinggalkan kami.
  • Memang saya amat berharap tiada ibu yang akan lalui apa saya rasa. Tetapi saya tidak boleh hipokrit bahawa kepahitan ujian datang dengan kemanisan. Dah sebut dalam hadis, ibu kehilangan anak kecil akan dapat syafaat kerana anak ini akan merayu kepada Allah untuk bawa ibu bapanya masuk Syurga. Saham akhirat. Saham yang selalu orang katakan kepada saya. Saham yang tidak semua orang akan dapat sebab saham ini diperolehi atas tanggungan emosi yang sangat berat. Doa saya biarlah semua ibu bapa memperolehi kebaikan dan rahmat kasihNya tetapi dengan cara lain bukan cara yang saya lalui.
  • Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik. Dia Maha Penyayang. Atas rasa sayang, Dia pilih saya. Dia pilih Inas.
  • Hidup atas dunia ni cuma sementara. Alam akhirat yang kekal abadi. InsyaAllah akan tiba masa saya bertemu semula dengan anak ini. Bersabarlah.. Berusahalah untuk jadi ummi terbaik. Isteri terbaik. Hamba terbaik. Supaya perjalanan saya melintasi Siratul Mustaqim dipermudahkan.
  • Inas Sarah Affendi - kesayangan ummi dunia akhirat.
    http://ourlittleaffendijr.blogspot.com/
    Cinta hati ummi

Comments

Popular posts from this blog

194 - KADANG-KADANG

Bismillahirrahmanirrahim Menikmati indahnya alunan suara imam, gema zikir dan sayunya doa diaminkan ahli masjid pun dah terasa indah dan nikmat. Apatah lagi mereka yang telah diberi rezeki mengunjungi Masjidil Haram. Nikmatnya pasti jauh lebih hebat. Dan kerana itu tiada orang yang tak merindui Tanah Suci itu. Semoga kita dipilih Allah untuk menerima kad jemputanNya suatu hari nanti. Amin.

37 - PERANCANGAN UNTUK MINI LANDSKAP

Bismillahirahmanirrahim    Assalamualaikum Tanah di tepi rumah kami ada la berlebihan beberapa kaki persegi. Encik suami ada plan untuk letak gazebo. Tapi susah dan belum jumpa pembuat gazebo di Melaka. Masa Home Fair pernah la survey tapi takde info. Pernah juga bertanya-tanya di Galeri Produk Penjara depan Kompleks KDN Ayer Keroh kot ada jual ke. Kat situ macam-macam produk penjara yang dijual, dari kraftangan dan peralatan untuk landskap pun ada dari penjara pelbagai negeri. Kata PIC kat situ, kat Kelantan ada buat tapi diorang takde supply ke luar sebab demand kat sana pun dah tinggi. Gazebo ni mahal. Paling tau pun ada jual kat sungai buluh. Kot campur transportation cost memang kena bajet lebih la.  Tapi sebab takde la beria-ia nak dan dan tu gak kan so kita KIV dulu la. Nice and simple Hari tu masa tengok harga pokok pun boleh tahan la kalau nak pokok yang sedang-sedang membesar ni. Kalau jenis sabar, beli la anak pokok dulu kos pun murah....

195 - RECAP 2018

Bismillahirrahmanirrahim  2018 memang dah tak rajin nak menulis dalam blog ni. Kadang-kadang ada benda yang nak ditulis tapi takde masa nak mengarang. Ada juga keinginan dulu untuk tulis 1 bulan 1 entri. Tapi tu angan-angan mak jemah jelah. Mac 2018 : Sofea warded . Sofea tiba-tiba kena sawan dekat rumah. Allah je tau luluh hati ni. Sampai Hospital Putra doktor kata Sofea kena Influenza A. 3 hari 2 malam warded .  Mei 2018 : PRU 14 yang memberi impak besar kepada semua orang sehingga hari ni kot. Secara peribadi PRU 14 memang aura dia lain macam untuk diri sendiri. Akak pun tak ingat dah berapa kali akak memangkah tapi inilah kali pertama akak risau nak mengundi. Dia punya risau tu menyebabkan akak agak gigih membaca pandangan umum dalam sosial media. Dan tidaklah pernah terjadi dalam hidup ni, akak minta Allah lorongkan hati untuk memangkah pemimpin yang betul. Celaru betul. Dan ingat lagi 9 Mei 2018, dia punya semangat nak keluar rumah ke tempat mengundi memang la...